1 DISEMBER 2024 | TREE MAPPING@YAYASAN UTHM PENANDA ARAS BANGUNKAN DATA FLORA UTHM
Posted On 15/12/2024
Date:
01 Disember 2024
Place/ Vanue:
Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA)
Participant:
Staf & Student UTHM
Description:
1 DISEMBER 2024 | TREE MAPPING@YAYASAN UTHM PENANDA ARAS BANGUNKAN DATA FLORA UTHM
Oleh:
Rozlin Zainal
Nazirah Mohamad Abdullah
Keterujaan program Tree Mapping@Yayasan UTHM fasa pertama telah berjaya dilaksanakan pada 1 Disember 2024 bersamaan hari Ahad yang lalu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang di Zon 2 iaitu merangkumi kawasan Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan Dewan Sultan Ibrahim. Program Tree Mapping@Yayasan UTHM adalah inisiatif yang bertujuan untuk pengumpulan data dan pembangunan data jenis pokok yang terdapat dalam Kampus Induk UTHM serta memupuk kesedaran kelestarian alam sekitar dalam kalangan komuniti universiti. Program ini melibatkan teraju utama Yayasan UTHM dengan kerjasama Pejabat Kampus Lestari (SCO), Pejabat Pembangunan dan Penyelenggaraan (PPP) dan pelajar-pelajar kategori B40 daripada Kelab Pelajar Planeteers cawangan Kampus Pagoh UTHM bagi mengumpul, membangunkan sistem data serta menimba pengetahuan berkenaan jenis pokok-pokok di dalam kawasan UTHM bagi mencipta budaya ilmu persekitaran lestari dan seterusnya dapat menjadi rujukan sebagai pengkalan data alam flora UTHM yang sistematik.
Program ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Nur Shaylinda binti Mohd Zin, Ketua Jabatan Pengurusan dan Kejuruteraan Lestari, SCO dengan diiringi Profesor Madya Dr. Rozlin binti Zainal selaku Pengerusi Program dan En. Mohd. Khairi bin Khadzir selaku Penyelaras Program. Pengarah Program adalah diterajui oleh Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Nazirah binti Mohamad Abdullah yang telah menjadi pembimbing utama pelajar bagi mencapai sasaran perlaksanaan program. Aktiviti ini juga menjadi serampang dua mata pemindahan ilmu bagi pengisian tugasan berkumpulan kursus GIS Untuk Pengurusan Sumber-Sumber Semulajadi (BWJ30303) yang melibatkan 39 pelajar Tahun 3 Program Sarjana Muda Sains Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan dengan Kepujian (BWW), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST). Aktiviti komuniti ini dilaksanakan selaras dengan usaha Yayasan UTHM menyokong misi UTHM ke arah Green Campus, dengan memfokuskan terhadap aktiviti pengumpulan data jumlah pokok yang terdapat di kampus UTHM dengan menilai keadaan fizikal pokok-pokok tersebut, seperti ukur lilit dan ketinggiannya.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak Yayasan UTHM yang telah memberi sumbangan dana bagi melancarkan usaha murni ini. Selain itu, penglibatan SCO dan PPP telah menjadikan kerjasama ini dapat mencapai objektif program. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan terutama pada fasa-fasa seterusnya bagi melengkapkan pembangunan sistem data pokok disamping demi pembangunan ilmu, kesedaran ekologi, dan kemahiran pelajar secara keseluruhannya di UTHM.